SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan pembelian 45 unit kamera badan untuk mengawasi penguat kuasa agensi berkenaan.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kassim berkata, kamera tersebut melibatkan lima kamera badan untuk penstriman secara langsung manakala 40 lagi untuk rakaman terus ke pusat arahan (command center) di Wisma MBSA.
“Setiap kamera badan tersebut berharga RM1,000 dan akan dipakaikan di badan penguat kuasa setiap kali menyertai operasi atau rondaan rutin.
“Kamera ini diharap boleh dijadikan bukti termasuk apa-apa keliruan melibatkan orang ramai dan kakitangan MBSA sendiri,” katanya selepas Pembentangan Bajet 2021 MBSA dan Mesyuarat Majlis Kali Ketujuh Tahun 2020 hari ini.
Menurut beliau, kamera badan tersebut antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik bagi memastikan setiap kakitangan MBSA mematuhi peraturan kerja.
Mengulas mengenai Covid-19 yang dikesan di Klang dan Shah Alam, beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang pandemik tersebut.
“Sekiranya pandemik kembali meningkat kita akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebagaimana kita lakukan di Jalan Puyuh, Seksyen 6,”katanya. – UTUSAN