KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu pencemaran Sungai Gong, Rawang, Selangor.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, siasatan dijalankan bagi meneliti unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguat kuasa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu berkenaan diminta untuk tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya kini giat menjalankan siasatan terperinci berhubung kes tersebut.
“Kes masih lagi dalam siasatan,” ujarnya.
Kelmarin, dua pekerja sebuah kilang ditahan reman enam hari mulai semalam berhubung kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong.
Suspek berusia 20 tahun dan 57 tahun itu ditahan reman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sabtu lalu, empat pengurus kilang direman enam hari sehingga esok berhubung kejadian sama mengikut seksyen serupa.
Kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50-an hingga 60-an adalah adik beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.
Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – UTUSAN ONLINE