Sindiket dadah Xiang dan Nathan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket dadah Xiang dan Nathan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua sindiket dadah yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu ditumpaskan polis menerusi operasi berasingan pada 16 dan 19 September lalu.

Kedua-dua sindiket yang dikenali sebagai Xiang dan Nathan itu dikatakan mendapat bekalan dadah dari utara tanah air sebelum diproses untuk diedarkan bagi pasaran negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 13 individu berusia antara 17 tahun hingga 62 tahun ditahan dan nilai keseluruhan dadah dirampas adalah sebanyak RM210,993.48.

“Operasi pada 16 September membabitkan tiga serbuan dijalankan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri yang mana tujuh suspek ditahan termasuk seorang warga Singapura dan seorang wanita beserta pelbagai jenis dadah bernilai RM189,610.

“Hasil saringan ujian kencing mendapati empat daripadanya positif dadah manakala pemeriksaan lanjut mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.

Tambah beliau, operasi kedua yang dijalankan pada 19 September lalu membabitkan lima serbuan di sekitar Kulai dan Kluang.

“Dalam operasi ini, kita menahan enam suspek termasuk seorang wanita beserta pelbagai jenis dadah bernilai RM21,383.48.

“Saringan urin mendapati tiga daripada mereka positif dadah manakala semakan lanjut mendapati lima daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, menerusi kedua-dua operasi terbabit, polis menyita pelbagai barangan antaranya empat buah kereta, barangan kemas, wang tunai dan sebuah motosikal bernilai keseluruhan RM273,700.83.

“Polis terus menjalankan operasi bagi membanteras jenayah melibatkan dadah kerana ia merupakan musuh negara,” katanya.

Kesemua suspek dikenakan perintah tahana reman seminggui manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN