ISKANDAR PUTERI : Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Johor yang berlangsung hari ini menjadi tumpuan ekoran situasi panas yang melanda politik negeri ini sejak kebelakangan ini.
Sidang DUN dua hari itu dijangka panas ekoran pergolakan politik melibatkan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang ura-ura dikatakan bakal meninggalkan parti tersebut.
Aturan mesyuarat hari ini dimulakan dengan sesi soal jawab lisan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Wakil Rakyat Gambir merupakan antara ADUN yang dijangka menghadiri sidang DUN Johor.
DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).
Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi. – UTUSAN O LINE