'Separuh hidup saya sia-sia' - Utusan Malaysia

‘Separuh hidup saya sia-sia’

ABE Zul ketika ditemu bual oleh wartawan dalam Program Yayasan Dakwah Islam (Yadim) Bersamamu: Masih Ada Yang Sayang, di Penjara Pengkalan Chepa, semalam. FOTO: ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Serik, insaf, nekad mahu berubah mahu menjadi insan lebih baik dan enggan lagi terjebak dengan najis dadah.

Itu azam dua banduan yang ditemui dalam Program Yayasan Dakwah Islam (Yadim) Bersamamu: Masih Ada Yang Sayang di Penjara Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Banduan mahu dikenali Abe Man, 30, yang hukumannya berbaki lebih setahun lagi berkata, hanya kerana ingin mencuba, ‘separuh’ daripada hayatnya disia-siakan selepas mengambil dadah jenis pil kuda seawal usia 16 tahun.

“Gara-gara pengaruh rakan, saya mula ketagih pil kuda dan saya terus bergelumang dengan dadah sehinggalah dipenjarakan pada 2017.

“Sebenarnya ini adalah kali keenam saya dimasukkan ke penjara angkara dadah. Selepas dibebaskan kelak, saya bertekad untuk tidak lagi terlibat dengan dadah. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Anak sulung daripada 11 beradik dan berasal dari Pasir Mas itu memberitahu, gara-gara di bawah pengaruh dadah, dia pernah bertindak di luar batasan dengan memukul individu yang menegurnya supaya berubah.

“Kali pertama saya masuk penjara atas kesalahan kes dadah pada 2013 dan sejak itu saya keluar masuk penjara.

“Sepanjang berada di penjara kali keenam ini, saya mula insaf selepas menghadiri kelas agama dan motivasi diri, selain amalan membaca al-Quran,” katanya.

Seorang lagi banduan dikenali Abe Zul, 41, berasal dari Tumpat berkata, dia pernah menjadi pengedar dadah hanya kerana inginkan kemewahan segera.

Menurutnya, dia terjebak ketika berusia 18 tahun dan ini kali keempat dia dipenjara atas kesalahan kes dadah.

“Hukuman saya kali ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi pertuduhan diringankan mengikut Seksyen 39A (1) akta yang sama. Isteri saya turut ditahan dan kami dipenjara sejak tahun lepas.

“Insya-Allah, kami akan dibebas pada tahun depan. Saya tidak mahu lagi kejar kemewahan dengan cara salah,” katanya. 

Di bawah bimbingan Yadim, Abe Zul berjaya khatam al-Quran sebanyak 30 kali sepanjang dia ditahan di Penjara Pengkalan Chepa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya