Senarai hitam syarikat salah guna Subsidi Upah - Utusan Malaysia

Senarai hitam syarikat salah guna Subsidi Upah

M. Saravanan (kanan) menyampaikan surat tawaran kerja di bawah Inisiatif Penjana HRDF kepada Amal Lidya Abdul Jalal (dua dari kiri) pada Majlis Program Inisiatif Penjana HRDF, Peringkat Negeri Johor di Hotel Thistle di sini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tindakan senarai hitam bakal dilakukan kerajaan terhadap majikan yang didapati menyalahgunakan Program Subsidi Upah yang diperkenalkan pada 1 April lalu. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia ekoran pihaknya telah menerima aduan daripada 846 pekerja berhubung kegagalan majikan membayar upah kepada mereka. 

“Ada juga syarikat memberi dokumen palsu. Sehingga kini, sebanyak 1,663 syarikat dikenal pasti memberi maklumat palsu membabitkan 14,800 pekerja dan tuntutan adalah sebanyak RM31 juta.

“Kita ingin mengingatkan syarikat untuk tidak cuba mengambil kesempatan terutama dengan keadaan sekarang ini, selain kerajaan sedang buat semampu yang boleh untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Inisiatif Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di sini hari ini.

Kata Saravanan lagi, meskipun sebahagian besar syarikat sudah menyampaikan kepada pekerja yang memerlukan, namun ada juga yang dipercayai mengambil kesempatan dengan keadaan sekarang. 

“Kerajaan memberi subsidi upah kepada syarikat dengan tidak memberhentikan pekerja dan terus beroperasi, selain turut memberi insentif pengambilan pekerja kepada syarikat yang mengambil pekerja,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penyambungan Program Subsidi Upah 2.0 membabitkan peruntukkan sebanyak RM2.4 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja.

Inisiatif diambil sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban majikan dan pekerjaan bagi fasa pemulihan ekonomi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya