Semua 29 ADUN PN tetap bersama - Utusan Malaysia

Semua 29 ADUN PN tetap bersama

MAZLAN BUJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesemua 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Johor tetap setia dan bersama meskipun wujud dakwaan perubahan kerajaan Pusat seperti dicanang oleh pihak tertentu.

ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang berkata, mereka masih berada dalam satu pasukan sama dan mempunyai kefahaman seiring dalam usaha membangunkan negeri Johor.

“Setakat ini, PN berada dalam pasukan yang kuat. Insya-Allah kita tidak akan berganjak.

“Di Johor kita agak berbeza, seperti sedia maklum kita tidak terikat sangat cara kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas pihaknya dikatakan memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan ketika ditanya mengenai kedudukan kerajaan negeri, beliau meminta semua pihak untuk tunggu perkembangan lanjut dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut dakwaan Anwar, Mazlan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkata, kenyataan itu perlu dibuktikan dalam sidang Dewan Rakyat.

Ujarnya, dakwaan seumpama itu bukan satu perkara baharu kerana sudah banyak terjadi sebelum ini.

“Biasalah dalam politik, provokasi satu perkara biasa. Tentang kesahihan itu, saya tak nampak lagi. Tetapi kita di peringkat negeri, sentiasa bersedia apa jua keputusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN