KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius dalam menangani penyalahgunaan ketum apabila sembilan individu ditahan dalam serbuan di Kampung Padang Balang di sini semalam.
Kesemua lelaki tempatan berusia 35 hingga 56 tahun ditahan lima pegawai dan 42 anggota Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Siasatan mendapati kesemua lelaki itu dipercayai terlibat memproses ketum sebelum mengedar di kawasan Gombak dan Kampung Padang Balang sejak Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju berkata, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, air ketum yang siap diproses dijual dengan harga RM20 sebotol.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemukan 704 botol air berisi cecair disyaki ketum dan tiga bungkusan plastik seberat 30 kilogram berisi daun ketum.
“Kita merampas satu paket plastik berisi ganja seberat 5.74 gram, sembilan tong oren, tiga gas petroleum cecair (LPG), dua set peralatan masak dan tiga periuk besar.
“Nilai rampasan ketum dan ganja dianggarkan RM14,330,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. – UTUSAN