Selepas bertaubat, ‘Rasul Melayu’ ditahan lagi - Utusan Malaysia

Selepas bertaubat, ‘Rasul Melayu’ ditahan lagi

Antara pengikut ‘Rasul Melayu’ ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di beberapa lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur pada 20 September 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat tahun lalu, lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’  dibebaskan selepas mengisytiharkan dirinya bertaubat kerana menyebarkan ajaran sesat.

Bagaimanapun, Abdul Kahar Ahmad,70, bagaikan  tidak serik apabila mengaktifkan semula ajaran salahnya menerusi media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Abdul Kahar Ahmad, 70, ditahan di Kemensah, Hulu Kelang manakala 16 lagi pengikutnya ditahan dalam serbuan  di Sungai Long, Kajang dan  Keramat di Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam.

Kesemua yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan lapan wanita berusia 14 hingga 70 tahun.

Menurut beliau, pihaknya melakukan risikan  dua bulan selepas menerima maklumat orang awam mengenai gerakan semula ajaran sesat.

“Dalam serbuan tersebut kita rampas barangan seperti buku, telefon bimbit, komputer riba, al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran,” katanya selepas menghadiri majlis Mesra Media 2020 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan akan melakukan tangkapan terhadap pengikut Rasul Melayu yang dianggarkan seramai  97 ahli.

“JAIS tidak berdiam diri dan sebelum bertindak, kita mengumpulkan maklumat serta fakta sebelum mengambil tindakan. 

“Setakat ini, kita sedang menjalankan siasatan dan mengenal pasti 17 lagi ajaran sesat baharu yang aktif. JAIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penganut ajaran sesat,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 7,Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Doktrin Palsu), Seksyen 8,Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu), Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).

“Mereka semua juga turut didakwa mengikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa), Seksyen 16,Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Percubaan),” katanya.

Sebagai  rekod, pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat.

Ajaran Abdul Kahar  difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN