Sarjan didenda RM20,000 terima suapan kes dadah - Utusan Malaysia

Sarjan didenda RM20,000 terima suapan kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima wang tunai suapan berjumlah RM4,000 pada Oktober tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Azani Mohd. Khalid, 34, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sebagai penjawat awam di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Alor Gajah telah menerima wang tunai RM4,000 daripada seorang wanita. 

Tindakan itu dilakukan dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai penyiasat kes ke atas seorang lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 1.30 petang di Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah pada 9 Oktober 2019. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukuman denda dikenakan selain mengaku ia adalah kesalahan pertamanya dan kini berdepan dengan risiko untuk kehilangan pekerjaan. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat bagaimanapun meminta hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius kerana menerima suapan bersabit tugas rasmi, malah tertuduh didakwa juga telah pergi sendiri ke rumah wanita terbabit tanpa ada perasaan takut.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM20,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN