BUTTERWORTH: Gara-gara termakan kata-kata manis individu yang dikenali dalam laman media sosial, seorang kerani di sini berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM65,700 ditipu sindiket Parcel Scam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, wanita berusia 46 tahun itu menjadi mangsa selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya dari London melalui laman sosial Facebook, Ogos lalu.
Katanya, kenalan wanita itu memberitahu mangsa kononnya ada menghantar bungkusan yang mengandungi wang tunai dan pelbagai barangan berharga kepadanya.
“Mangsa kemudian menerima panggilan daripada individu menyamar wakil syarikat penghantaran yang memintanya membuat bayaran bagi melepaskan bungkusan tersebut.
“Mangsa yang tidak mengesyaki taktik penipuan itu terus membuat pembayaran ke dalam akaun bank diberikan dengan harapan menerima bungkusannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila individu terbabit secara berterusan meminta bayaran walaupun dia sudah menyerahkan sebanyak RM65,700.
“Wanita itu membuat laporan polis semalam dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.,” katanya.
Sementara itu, Noorzainy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah jatuh cinta atau termakan kata-kata manis daripada individu yang baru dikenali melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan Wechat. – UTUSAN ONLINE