KUANTAN: Bagi mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan di Raub dekat sini, sebanyak RM18 juta diperuntukkan untuk menaik taraf tiga loji rawatan air di daerah itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut adalah bagi kerja-kerja mengatasi kekeruhan tinggi di tiga Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau.
“Seperti mana kita sedia maklum masalah kekeruhan air mentah yang tinggi di ketiga-tiga LRA itu selama ini menyebabkan operasinya kerap ditutup hingga menyusahkan rakyat.
“Sebagai kerajaan yang mengambil berat masalah rakyat, usaha-usaha segera dilakukan termasuk mendapatkan peruntukan RM18 juta tersebut yang daripadanya sebanyak RM7.57 juta bagi LRA Sungai Bilut, RM6.19 juta bagi LRA Sungai Semantan, dan RM4.24 juta bagi LRA Sungai Klau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, skop utama projek ialah membina tangki praenapan dan penggantian pam serta peralatan elektrik manakala reka bentuknya akan mengambil kira kekeruhan air mentah hingga setinggi 20,000 kadar tingkat kekeruhan air (NTU).
Dalam pada itu, katanya, tender terbuka bagi kerja mengatasi kekeruhan tinggi di loji rawatan air berkenaan akan dibuka pada hujung bulan ini.
Beliau memberitahu, tempoh penyiapan kerja-kerja adalah selama 15 bulan dan skop projek merangkumi pelantikan jurutera perunding, kerja ukur dan penyiasatan tanah.
“Adalah diharapkan segala proses berjalan lancar seterusnya menyaksikan ketiga-tiga projek ini siap dalam tempoh 15 bulan atau setahun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE