SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT: Sebuah restoran di Seri Manjung di sini disita manakala pemiliknya bukan Islam ditahan selepas dikesan menggantung bingkai ayat suci al-Quran dalam premisnya bagi menggambarkan premis itu menjual makanan halal.
Tindakan itu dilakukan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung hari ini setelah menerima aduan daripada orang ramai.
Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata, susulan aduan itu, empat pegawai penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis tersebut pada pukul 11 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati pemilik perniagaan adalah warganegara Malaysia berketurunan India.
“Peniaga telah gagal untuk mengemukakan suatu perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam yang melayakkan premis perniagaan ini menggunakan representasi ayat-ayat Al-Quran di dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pemilik perniagaan telah ditahan untuk diambil keterangan dan beberapa barangan yang terlibat telah disita untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes itu disiasat di bawah kesalahan Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang membawa hukuman denda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu jika sabit kesalahan.
Ujarnya, undang-undang itu jelas menyatakan mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdayakan atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah melakukan satu kesalahan.
Wan Muhammad Badro berkata, premis perniagaan itu merupakan sebuah restoran yang telah beroperasi selama tiga tahun.
Menurutnya, KPDNHEP Manjung memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan perlambangan halal ke atas premis dan barang-barang makanan serta perkhidmatan keluaran mereka.
“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan bahawa makanan atau barang-barang yang boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE