ALOR SETAR: Dua anggota dan seorang pegawai polis direman seminggu kerana dipercayai meminta dan menerima suapan sebanyak RM8,000 daripada seorang individu yang disyaki pengedar dadah, Julai lalu.
Mereka yang masing-masing berpangkat koperal dan pegawai berpangkat inspektor itu didakwa meminta serta menerima suapan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap isteri lelaki berkenaan.
Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor ALiyana Abd. Rahim membenarkan tiga suspek tersebut ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 September ini.
Mereka yang berusia 33 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kedah kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Menurut sumber, anggota dan pegawai polis terbabit yang mengesyaki pengadu sebagai pengedar dadah melakukan penggeledahan di rumah pengadu pada 16 Julai lalu.
Namun, katanya, tiada dadah ditemukan di rumah pengadu tersebut.
“Salah seorang anggota polis meminta wang RM8,000 sebagai dorongan untuk tidak ditangkap kononnya pengadu disyaki pengedar dadah.
“Polis tersebut mengambil RM3,800 daripada pengadu manakala baki RM4,000 lagi diambil semalam,” katanya.
Selain itu, polis tersebut juga meminta kepada pengadu untuk memberi wang secara bulanan sebanyak RM6,000 untuk tidak dikenakan tindakan yang sama pada bulan seterusnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu. – UTUSAN ONLINE