KOTA KINABALU: Polis memantau beberapa individu dari negara jiran yang memiliki dua kewarganegaraan akan masuk ke Sabah untuk mengundi dan buat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ada desas-desus mengatakan kumpulan ini mempunyai agenda untuk menyokong sesuatu pihak pada PRN Sabah.
Menurut beliau, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingin masuk ke Sabah untuk menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Sekiranya kita dapat tangkap mereka ini, dan mendapati sah mereka ada dua kerakyatan, kita akan batalkan kad pengenalan mereka serta mengusir individu berkenaan keluar dari Malaysia.
“Janganlah sesekali cuba untuk mengganggu-gugat proses demokrasi di negara ini,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.
Abdul Hamid berkata, seramai 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak dapat mengundi awal hari ini kerana mereka terpaksa melalui proses kuarantin.
Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini proses pengundian awal di seluruh Sabah berjalan lancar dan terkawal.