KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai pencalonan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akhirnya terjawab apabila beliau sah tidak dipilih menjadi calon UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu diumumkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra di The Megallan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah, pagi ini.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila yang dikaitkan dengan Musa akan ditandingi calon baharu iaitu Mokran Ingkat.
Beliau berkata, Musa tidak pernah untuk memohon bagi mencalonkan diri bertanding di bawah parti BN.
“Musa tidak pernah memohon menjadi calon Barisan Nasional,” katanya dalam sidang akhbar tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga tidak tersenarai dalam calon UMNO tersebut.
Menjelaskan senarai nama calon itu, Bung Moktar berkata, hanya dua ‘muka lama’ yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu iaitu beliau sendiri di kerusi Lamag dan
Datuk Seri Salleh Said Keruak di DUN Usukan.
Sementara itu, 95 peratus calon UMNO adalah muka baharu yang mana pemilihannya adalah dari segi latar belakang, pergaulan dengan masyarakat dan komitmen bekerja untuk masyarakat Sabah.
Dalam perkembangan sama, Bung Moktar menjelaskan, pengumuman calon daripada parti gabungan lain iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat pada pukul 5 petang ini. – UTUSAN ONLINE