PRN Sabah: Lebih 1.08 juta pemilih layak mengundi Sabtu ini - Utusan Malaysia

PRN Sabah: Lebih 1.08 juta pemilih layak mengundi Sabtu ini

Daftar pemilih tambahan November 2023 diwarta hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu ini bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 14,935 pengundi pula telah mengundi secara pos.

Kata beliau, bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR. 

“Pada Kad Pengundi kali ini, SPR juga meletakkan maklumat ‘Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’ bagi setiap pengundi dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan itu.

 “Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan namun dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ikmalrudin, cadangan masa itu bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi. 

Katanya, langkah itu selaras dengan prosedur kawalan penyebaran  wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa. 

“Semua pengundi dan pihak yang terlibat dalam PRN Sabah juga diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin memberitahu, bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana berkemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Katanya, semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:

a)Portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my

  1.  Aplikasi MySPR Semak;
  2. Hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau
  3. SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO. KAD PENGENALAN

 

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

Katanya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

Sehubungan dengan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya