PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan mana-mana bakal calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengisi borang dan membuat semakan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, calon-calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon itu sebagai bukti bayaran.
Menurut beliau, ia bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.
“Kertas penamaan calon boleh dikemukakan pada 12 September ini bermula dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 73 Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan oleh pihak-pihak seperti calon, pencadang dan penyokong; mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.
“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ikmalrudin berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon manakala penyokong- penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan.
Jelas beliau, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari tersebut.
“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE