SHAH ALAM: Sebuah premis dipercayai menjalankan urus niaga mengimport dan mengedar makanan dan minuman menggunakan tanda logo halal yang tidak sah diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dekat Gombak, pagi semalam.
Ops Suci itu melibatkan tujuh anggota penguatkuasa Bahagian Pengurusan Halal JAIS dan empat pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Shah Alam Selangor.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.45 pagi, JAIS merampas sebanyak 7,260 bungkus produk dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,056.
Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pemeriksaan awal telah menemukan beberapa produk makanan iaitu sejenis jeli yang diproses menjadi mee yang diimport dari China oleh syarikat tersebut yang bertindak sebagai pengedar di Malaysia.
“Semakan di dalam sistem MyeHalal mendapati premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.
“Pemilik syarikat juga memaklumkan bahawa mereka tidak mengetahui berkenaan penyalahgunaan logo halal yang tidak diiktiraf tersebut dan hanya mengimport dan mengedarkan produk tersebut di Malaysia.
“Syarikat berkenaan telah beroperasi sejak 16 tahun dan mengedarkan produk makanan di kedai-kedai di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Mesra Media 2020 di sini semalam.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo dalam Jadual Pertama.
“Sabit bersalah, syarikat itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan berikut dan denda tidak lebih RM500,000.
“Manakala, individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya, dan bagi kesalahan berikutnya denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya,” ujarnya. -UTUSAN