Polis patahkan cubaan seludup syabu, ketamin ke Miri - Utusan Malaysia

Polis patahkan cubaan seludup syabu, ketamin ke Miri

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis ketamin dan syabu daripada dua lelaki yang ditahan di KLIA2 -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menghidu taktik sindiket  menyembunyikan  syabu dan ketamin bernilai RM204, 200 dalam bungkusan teh  di terminal pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah KLIA,  Asisten Komisioner Imran Abd.  Rahman berkata, dadah seberat 5.24 kilogram (kg)  dipercayai akan diedarkan ke Miri, Sarawak kerana harga jualan yang dipercayai boleh mencecah RM50,000 sekilogram di negeri itu.

Menurut beliau,  polis menahan dua lelaki berasal dari Sabah dan mereka tidak ada rekod jenayah.

“Tangkapan pertama pukul 10.15 pagi dan menemukan  ketamin dengan berat 1.04 kg dalam bungkusan teh Cina yang tertera ‘Tie Guan Yin’.

“Dadah itu disimpan dalam  bagasi dan  dibawa  lelaki terbabit. Turut ditemui bersamanya wang  RM9,000  disyaki upah membawa dadah,” katanya di sini hari ini. 

Susulan itu, beliau berkata,  polis kemudian merampas syabu seberat 4.2 kg bernilai RM147,000 yang dibungkus dalam teh Cina tetapi tertera perkataan ‘Jin Xuan Tea’  pada  pukul 12 tengah hari. 

Katanya,  syabu dalam  bagasi  tersebut telah didaftar masuk ke dalam kargo oleh seorang lelaki Cina berusia 28 tahun.

Menurutnya,  polis  memburu dalang di sebalik sindiket tersebut yang dipercayai bergiat aktif di Lembah Klang. 

“Kedua-dua suspek ditangkap dan ditahan reman bermula hari ini sehingga 17 September depan,” kata beliau. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya