GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menerima sebanyak 26 kereta peronda polis (MPV) baharu jenis Honda Civic 1.8s yang ditempatkan di lima ibu pejabat polis daerah (IPD) negeri ini termasuk di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti mulai hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, penambahan kenderaan baharu itu menjadikan jumlah MPV yang beroperasi di seluruh kontinjen Pulau Pinang ketika ini sebanyak 139 buah.
Menurutnya, IPD Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan masing-masing menerima sebanyak lima buah MPV manakala IPD Barat Daya empat buah.
“Penerimaan MPV baharu ini meningkatkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara amnya dan berharap turut dapat meningkatkan keberkesanan tugas rondaan cegah jenayah bagi para petugas di lapangan.
“Saya percaya penerimaan ini dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kerana model ini mempunyai kelebihan dari segi kepercayaan orang awam selain dapat meningkatkan keyakinan serta suasana kerja ylebih menyakinkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan MPV di Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan statistik, hampir 80 peratus kenderaan PDRM telah melebihi had umur dan memerlukan penambahbaikan.
“Sekiranya kenderaan tersebut tidak dijaga dengan baik, secara tidak langsung memberi kesan kepada penugasan harian polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE