Polis Johor lupus dadah bernilai RM14.9 juta - Utusan Malaysia

Polis Johor lupus dadah bernilai RM14.9 juta

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 877.40 kilogram dan 251.63 liter pelbagai barangan kes rampasan dadah bernilai keseluruhan RM14.6 juta dilupuskan polis hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 3,844 kes dadah dalam tempoh 2008 hingga 2019.

Katanya, antara dadah berkenaan ialah heroin seberat 10.64 kilogram, kanabis (6.39 kilogram), ketamin (88.61 kilogram) dan syabu (90.5 kilogram).

“Polis Johor komited melaksanakan operasi membanteras sindiket jenayah terancang yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah di negara ini.

“Namun proses itu tidak terhenti sehingga suspek dihukum di mahkamah. Polis juga perlu memastikan semua barangan dirampas dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, tahun lalu polis Johor melupuskan barang kes dadah dirampas sebanyak 159.07 kilogram dan 251.63 liter dadah bernilai RM20.61 juta.

“Kesemua barang kes ini dibawa ke tapak pelupusan yang terletak di Negeri Sembilan untuk dilupuskan mengikut SOP ditetapkan,” tambahnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari hingga 18 September tahun ini, polis negeri menahan seramai 14,368 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.150 tan dadah bernilai RM25.64 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN