Polis cari empat lelaki termasuk remaja 16 tahun - Utusan Malaysia

Polis cari empat lelaki termasuk remaja 16 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis sedang mengesan empat suspek lelaki termasuk remaja berusia 16 tahun berhubung kes pecah masuk kedai di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis mendapati, semua mereka yang dianggarkan berusia 16 tahun hingga 20 tahun itu didapati telah mengambil pelbagai barangan di kedai milik pengadu.

“Pengadu berusia 47 tahun yang menjual pakaian dan barangan kraftangan di pusat beli-belah itu menyedari kedainya dipecah masuk pada pukul 10 pagi semalam semasa ingin memulakan perniagaan.

“Pengadu mendakwa kehilangan 10 helai baju, lima beg tangan dan dua kotak barangan perhiasan rantai dan gelang tangan membabitkan kerugiaan dianggarkan RM1,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, Afzanizar berkata pengadu berjumpa dengan polis bantuan pasar raya berkenaan dan pemerhatian CCTV merakam empat suspek lelaki terbabit dalam kejadian itu.

“Siasatan polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mendapati suspek memasuki kedai pengadu melalui pintu ‘roller shutter’ yang telah rosak di bahagian belakang pasar raya.

“Suspek dipercayai telah mengopak pintu roller shutter yang rosak sebelum masuk pada kira-kira pukul 1.24 pagi semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan mencuri.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN