KOTA KINABALU: Perbadanan Nasional (PNS) selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sentiasa membuka ruang kepada perniagaan industri francais yang berpotensi dimajukan menerusi latihan dan konsultansi selain menyediakan bantuan pembiayaan.
PNS menerusi Program BozFrancais yang kali ini dianjurkan di Sabah memberi tumpuan terhadap perkembangan ekonomi mikro untuk dikembangkan ke peringkat lebih luas menerusi industri francais.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program seumpama itu menjadi usaha sama yang positif bagi memperkasa kedudukan usahawan setempat menerusi peningkatan kesedaran berhubung industri francais.
Katanya, industri itu mampu membantu usahawan menaik taraf sosioekonomi khususnya menerusi program Tranformasi Dalam Perniagaan (BIT) bagi memberi galakkan kepada usahawan mengembangkan perniagaan mereka.
“Kerjasama antara kementerian bersama PNS membuktikan kementerian dan agensi mampu wujudkan jaringan kerjasama seterusnya melahirkan lebih banyak usahawan baharu dalam konsep perniagaan ini.
“Usaha ini sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi terutama golongan sasar,” katanya pada Program BizFrancais bagi menyediakan platform bantu usahawan, di sini, semalam.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mohammad Mantek; Setiausaha Politik kepada Menteri, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Pale; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) kementerian, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) kementerian, Datuk Zamri Salleh.
Sementara itu, Mohd. Hilaluddin berkata, program tersebut adalah inisiatif turun padang PNS dirancang bertujuan memperkenal perniagaan francais kepada golongan sasar dengan lebih dekat.
Katanya, potensi industri francais tempatan masih luas untuk diterokai dan usahawan mikro terutamanya perlu berani mengambil langkah proaktif bagi menyertai industri francais dalam mengembangkan perniagaan.
“BizFrancais dapat memberi kemudahan kepada bakal usahawan meningkatkan sumber pendapatan dan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi industri francais selepas pandemik Covid-19.
“Program tahunan ini juga menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim pembiayaan serta latihan yang komprehensif buat bakal usahawan,” katanya.
Tambah beliau, program sehari itu membabitkan penyertaan hampir 200 orang terdiri daripada usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan terutama dalam bidang francais serta bantuan ditawarkan PNS.
“PNS menganjurkan tujuh program dalam siri jelajah BizFrancais di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai usaha mempromosikan perniagaan francais secara menyeluruh.
“Lebih RM6 juta pembiayaan dikeluarkan bagi tujuh program BizFrancais berlangsung pada tahun lalu bagi membantu usahawan francais.
“Kira-kira lebih RM1 juta daripadanya adalah daripada program BizFrancais Sabah dan jumlah pembiayaan diluluskan PNS pada tahun lalu untuk usahawan negeri ini adalah sebanyak RM3 juta,” katanya.
Menurut beliau, selain industri makanan dan minuman (F&B), PNS memberi keutamaan kepada sektor lain termasuk pelancongan (inap desa), kecantikan, pendidikan awal kanak-kanak dan veterinar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif rantaian makanan segera 1901, Mohairi Mohamad berkat, program seperti itu menjadi platform terbaik buat usahawan mengembangkan perniagaan dan menceburi industri francais.
“Program BizFrancais menandakan satu lagi inisiatif strategik untuk membantu usahawan tempatan menjana pertumbuhan ekonomi selain perkongsian maklumat dan latihan yang berguna dalam meningkatkan pendapatan perniagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE