PUTRAJAYA: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Di bawah kerangka berkenaan, empat kluster diwujudkan di bawah tiga kementerian dan satu agensi yang berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan serta pelaksanaan strategi yang dikenal pasti.
Kluster tersebut ialah Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Dua lagi kluster ialah Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan dan Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara.
Jawatankuasa Kabinet berkenaan ditubuhkan bagi meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.
Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan merangkumi strategi untuk memperkukuh sektor agromakanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import.
Turut dibincangkan strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada.
Sementara itu, Jawatankuasa tersebut diharapkan dapat memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik, sekali gus memastikan bekalan makanan terjamin.
Jawatankuasa itu dianggotai oleh 11 ahli tetap yang terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Menteri Kesihatan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Menteri Pengangkutan.
Turut dianggotai ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Tugas-Tugas Khas dan Gabenor Bank Negara yang merupakan ahli jemputan.
Jawatankuasa berkenaan dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang menyelaras cadangan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa tersebut. – UTUSAN ONLINE