PM mahu pusat komuniti setempat dipertingkat - Utusan Malaysia

PM mahu pusat komuniti setempat dipertingkat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan pusat komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti peningkatan kemahiran, pendidikan dan keusahawanan terutama di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) terus menjadi agenda utama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agenda tersebut penting terutama dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

“Pada 25 Ogos lalu, saya melawat PPR Desa Rejang dan meninjau sendiri kehidupan rakyat miskin bandar daripada golongan warga emas sehingga orang kurang upaya (OKU). Kebanyakan mereka membuat kerja kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori untuk meneruskan kehidupan mencabar.

“Sehubungan itu, antara perkara yang boleh dipertingkatkan adalah menambah baik pusat komuniti setempat dengan menyediakan pelbagai aktiviti kemahiran, pendidikan dan keusahawanan demi menjamin kesejahteraan masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Bandar Malaysia (MUF) 2020 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Program Penempatan Manusia (UN-Habitat), Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Bertemakan ‘Negara Bandar Lestari 2030 – Tindakan Dan Wadah Transformatif Untuk Merealisasikan Agenda Lestari’, forum berlangsung setiap tahun itu menampilkan kelainan susulan pandemik COVID-19.

Penganjuran tahun ini dianjurkan secara hibrid dengan menampilkan 164 pakar merangkumi pelbagai bidang dan dihadiri lebih 10,000 peserta secara dalam talian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN