LUMUT: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat dan meninjau Jeti Penumpang Pulau Pangkor dalam lawatan kerja sehari ke pulau tersebut.
Perdana Menteri tiba di jeti tersebut pada pukul 9.50 pagi diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam lawatan itu, Muhyiddin meninjau keadaan jeti utama ke pulau pelancongan itu serta mendengar taklimat mengenai keadaannya yang dikatakan sesak dengan pelancong setiap hujung minggu dan cuti umum selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.
Pertambahan pelancong ke pulau itu juga selepas diberi status pulau bebas cukai sejak awal tahun ini.
Ini lawatan kerja pertama Muhyiddin ke Pulau Pangkor yang turut dipenuhi dengan beberapa program rasmi termasuk mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap kerja menaik taraf jeti penumpang dapat dilakukan segera untuk menyelesaikan masalah kesesakan serta meningkatkan kedatangan pelancong.
“Selaras dengan perubahan status Pangkor sebagai pulau bebas cukai kehadiran pelancong semakin meningkat mencapai 30,000 hingga 50,000 terutama pada musim percutian.
“Bagaimanpun, keadaan jeti utama yang kecil menyebabkan masalah kesesakan dan sebab itu kerja menaik taraf jeti perlu disegerakan.
“Ia termasuk jeti di Sungai Pinang Kecil untuk kegunaan penduduk pulau ini dan jeti kargo untuk mengangkut barang selain penambahan feri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini. – UTUSAN