PKPP: Pengunjung kelab malam paling ramai ditahan - Utusan Malaysia

PKPP: Pengunjung kelab malam paling ramai ditahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak serik-serik. Begitulah sikap 124 pengunjung kelab malam yang degil dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Jumlah itu  sebahagian 293 individu lain yang ditahan atas pelbagai kesalahan dengan 269 daripada mereka  dikompaun manakala 24 lagi direman. 

Menteri Kanan (Keselamatan)  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain membabitkan penjarakan fizikal (85), gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (31), tidak memakai pelitup muka (24), premis beroperasi lebih masa (10) dan enam premis beroperasi tanpa kebenaran.

Selain itu, menurut beliau,  sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala dua individu  keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (Temco) serta dua lagi tidak bayar caj kuarantin.

“Dalam tempoh sama sebanyak 54,825  pemeriksaan dilakukan 11,016 anggota pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP,” katanya dalam laporan harian mengenai pelaksanaan PKPP di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng (Op Benteng), pasukan keselamatan menahan 75 PATI membabitkan lima penyeludup dan dua tekong. 

Katanya, pasukan tersebut juga merampas empat kenderaan darat melalui 91 sekatan jalan raya. 

“Sehingga semalam, seramai 31,830 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk  antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,342 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan dan 23,417 pula dibenarkan pulang,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN