KEMAMAN: Seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah, Melaka maut apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan di Kilometer 292.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Abdul Muiz Isa, 19, dari Kampung Baru Pak Sabah, Dungun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke rumah sewanya di Kuantan, Pahang untuk mengambil barangan keperluannya.
Bagaimanapun, katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha YZF-R15 yang ditunggang Abdul Muiz tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas mengakibatkannya tercampak ke tengah lebuh raya.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan badan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kesihatan sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan1987. – UTUSAN ONLINE