MARAN: Seorang mekanik maut apabila motosikal ditunggangnya terlanggar tayar sebuah lori balak yang bergolek di atas jalan selepas tercabut di kilometer 48 Jalan Temerloh-Jerantut di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa Mohamad Zazmi Mohd. Zahari, 22, yang berasal dari Jengka 10 mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Kamarulzaman Jusoh berkata, semasa kejadian lori balak itu dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Kuala Lumpur manakala mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba tayar belakang sebelah kanan lori berkenaan tercabut dan bergolek ke kanan jalan lalu bertembung dengan penunggang motosikal terbabit.
“Akibat kejadian penunggang motosikal terjatuh ke tebing sebelah kanan jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kamarulzaman, mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati semasa kejadian cuaca adalah baik dan cerah dan lokasi kejadian adalah jalan lurus. -UTUSAN