KUALA TERENGGANU: Penternak di negeri ini diingatkan tidak mengambil mudah kepentingan vaksinasi kepada haiwan ternakan bagi mencegah penyakit berjangkit termasuk hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pengambilan vaksin yang diberikan secara percuma itu bukan sahaja dapat mencegah penularan jangkitan malah mengawal kematian ternakan.
“Setakat ini majoriti penternak memberikan kerjasama yang baik kepada doktor veterinar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Sebab itu penyakit hawar berdarah di Terengganu sejak dikesan pada 2018 tidak mengakibatkan kematian ternakan dalam jumlah yang banyak sekali gus mengambarkan keberkesanan proses vaksinasi oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Azman, kerjasama penternak amat dituntut dalam memastikan usaha pemberian vaksin dapat berjalan lancar.
Bagaimanapun, katanya, ada segelintir penternak yang menolak suntikan percuma itu atas alasan haiwan mereka sihat hingga menyebabkan JPV tidak dapat meneruskan proses vaksinasi tersebut kerana tiada keizinan pemilik.
“Semoga apa yang berlaku kepada pemilik kandang di Kampung Kubang Bujuk, Khamis Jusoh memberi kesedaran kepada semua penternak agar tidak mengambil mudah dalam hal ini dan sentiasa bekerjasama agar ternakan mereka disuntik vaksin.
“Penternak mungkin ada alasan tersendiri atas keengganan mereka mematuhi nasihat dari jabatan. Bagi pihak kerajaan, saya berterima kasih kepada kakitangan JPV yang bertungkus-lumus bekerja bagi menyelamatkan baki ternakan kerbau Khamis yang masih hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE