Peniaga mohon maaf, sanggup pulangkan lebihan wang harga telur - Utusan Malaysia

Peniaga mohon maaf, sanggup pulangkan lebihan wang harga telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang peniaga sebuah pasar mini di Ambangan Heights, Amanjaya di sini memohon maaf di atas kekeliruan harga telur ayam dijualnya dan bersedia untuk memulangkan lebih wang kepada pembeli selepas diperiksa penguat kuasa.

Peniaga itu yang didakwa menaikkan harga telur ayam mengakui berlaku kekeliruan selepas terdapat masalah pada mesin pengimbas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak berkata, hasil siasatan, peniaga terbabit mendakwa harga  sepapan telur ayam (30 biji) gred B  sepatutnya RM12.50.

Bagaimanapun, katanya, berlaku kekeliruan harga apabila mesin pengimbas tersebut mencatatkan harga sepapan telur ayam gred itu  RM14 iaitu sama dengan harga sepapan telur ayam gred A.

Menurut Rae Morn, peniaga memaklumkan berlaku kekeliruan harga telur pada Rabu lalu kerana terdapat masalah pada sistem mesin pengimbas.

“Peniga terbabit memohon maaf dan bersedia untuk memulangkan wang lebihan kepada pengadu,” ujarnya.

Tambahnya, pengadu telah dimaklumkan perkara tersebut dan bersetuju menerima lebihan wang seperti dijanjikan. 

Rae Morn Verak memberitahu, pihaknya telah menerima aduan menerusi sistem e-Aduan berhubung kenaikan harga telur ayam gred B yang dibeli di premis tersebut.

“Aduan itu menyatakan harga sepapan telur (30 biji) bagi gred B berharga RM14 dan pemeriksaan yang dilakukan semalam mendapati harga telur bagi jumlah dan gred sama adalah RM12.50,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan penduduk di Ambangan Heights, Amanjaya mendakwa peniaga di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) menaikkan barangan untuk mengaut keuntungan berlebihan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya