Penganggur didakwa tumbuk kepala isteri - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa tumbuk kepala isteri

MOHD. Hafizan Abu Bakar (tengah) diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya di Kompleks Mahkamah di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya sehingga cedera, Ahad lalu.

Mohd. Hafizan Abu Bakar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menumbuk kepala isterinya, Norhassima Suhaini, 37, kira-kira pukul 7.30 malam di tepi jalan berhampiran Taman Tasik Utama, di sini pada 13 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM4,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM4, 000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan telah diberhentikan kerja selain perlu menyara enam anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Shu Yee kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 10 November depan sebagai sebutan semula kes.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak demikian kerana berang dengan isterinya yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN