MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya sehingga parah dengan menggunakan tali pinggang gara-gara berebut anak, Januari tahun lalu.
Tertuduh, M. Vadivelan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, Vadivelan didakwa dengan sengaja memukul mangsa, E. Sathiavani, 35, menggunakan tali pinggang sehingga mengalami kecederaan parah.
Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 4 petang di sebuah rumah di Taman Sri Krubong, Melaka Tengah pada 22 Januari 2019.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, pasangan itu tidak lagi tinggal bersama-sama dan tertuduh bertindak sedemikian selepas berang wanita tersebut ingin mengambil anak mereka berusia dua dan enam tahun yang dijaganya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak memberi sebarang jaminan memandangkan tertuduh sedang menjalani hukuman di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menetapkan tarikh 26 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE