Penduduk tak tahan hidu bau busuk setiap hari - Utusan Malaysia

Penduduk tak tahan hidu bau busuk setiap hari

Lokasi pembuangan sampah haram di Jeram, Kuala Selangor. UTUSAN/ Zulfadhli Zaki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebuah tapak pembuangan sampah haram di kawasan Kampung Seri Sentosa, Ijok dekat sini seolah-olah kebal apabila terus beroperasi walaupun pernah dikenakan tindakan.

Kewujudan tapak tersebut sejak lima tahun lalu mengganggu penduduk yang menghidu bau busuk sampah dan asap setiap kali berlaku pembakaran terbuka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati setiap hari ada lori memasuki tapak pembuangan berkeluasan empat hektar untuk membuang sampah yang tidak diketahui isi kandungan.

Seorang penduduk, Hairul Razid Mohamad Seri, 36, berkata, masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa namun tidak selesai.

“Pembuangan sampah terutama dibawa lori masuk ke kawasan ini dapat dilihat hampir setiap hari tanpa mengira waktu.

“Selain asap, bau busuk sampah itu juga menyebabkan rumah saya didatangi lalat,” katanya di sini semalam.

Katanya, sisa sampah dari tapak tersebut juga adakalanya hanyut ke kawasan kediaman penduduk jika berlaku banjir kilat.

“Perkara ini dikhuatiri akan mengalir ke Sungai Buloh yang berada berdekatan kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Wagiman, 71, meminta pihak berwajib serius menangani pencemaran yang memberi kesan kepada penduduk.

“Masalah tersebut sudah lama dan perlu segera diatasi kerana sampah yang dibuang tersebut juga tidak diketahui kandungannya.

“Saya cuma bimbang sekiranya ia mengandungi bahan kimia,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Shaid Rosli yang meninjau lokasi tersebut berkata, beliau telah membuat aduan berhubung masalah itu namun ia masih beroperasi.

“Selain Kampung Seri Sentosa, kawasan itu terletak berhampiran Bandar Seri Coalfields, Desa Coalfields dan Kampung Seri Aman.

“Saya meminta terutama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) segera mengambil tindakan terhadap individu yang mengendalikan tapak pembuangan sampah haram tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN