BENTONG: Pemandu kereta Toyota Camry yang membelok ke lorong kecemasan dan melanggar sebuah motosikal di Kilometer 56.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak ditahan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan polis.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 37 itu dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi kira-kira pukul 10.45 pagi.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yusof Unis berkata, perintah tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, tular dalam laman media sosial kejadian sebuah kereta yang memotong di laluan kecemasan dan melanggar sebuah motosikal sebelum melarikan diri.
Pemandu kereta berkenaan ditahan selepas datang ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor untuk membuat laporan polis, kelmarin.
Yusof berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika pemandu kereta dan motosikal menuju ke arah Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu kereta di lorong kiri mengubah haluan ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan hadapan dan motosikal dari lorong kecemasan cuba mengelak lalu terbabas jatuh ke tebing kiri jalan.
“Pemandu kereta tidak memberhentikan kenderaan dan lari dari tempat kejadian manakala mangsa mendapat rawatan di Hospital Bentong,” katanya. -UTUSAN