LIPIS: Seorang pelajar sekolah maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di kilometer 14 Jalan Benta-Jerantut di sini hari ini.
Mangsa yang maut pembonceng motosikal, Nurin Nadhirah Ikhwan Nassir, 16, manakala penunggangnya, Ainnur Shamimie Karim, 15, cedera parah.
Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Benta ke Jerantut.
“Semasa penunggang motosikal ingin memotong sebuah motosikal lain, motosikal dinaiki mangsa telah masuk sedikit ke laluan lori lalu berlaku pertembungan.
“Akibat kemalangan ini, pembonceng motosikal maut di tempat kejadian manakala penunggangnya mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, mayat mangsa di hantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat manakala rakannya yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati semasa kejadian cuaca adalah baik dan permukaan jalan kering,” jelasnya. – UTUSAN