IPOH: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan maut selepas motosikal ditunggangi melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan-U di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor dekat sini hari ini.
Kemalangan pukul 7 pagi berlaku di hadapan sekolah mangsa, Nurul Syahira Zamri, 16, yang dalam perjalanan ke sekolah. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa menunggang motosikal Honda SM Sport yang baru sebulan dibeli bapanya untuk memudahkan mangsa ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, motosikal pelajar itu melanggar bahagian kanan kereta Perodua Kenari
Selepas itu, menurut beliau, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut melanggar kereta Perodua Kenari tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan mendapati pemandu Perodua Kenari, seorang wanita berusia 46 tahun tiada lesen memandu.
“Pemandu kereta dan pemandu Toyota Hilux tidak cedera,” katanya. – UTUSAN