KEPALA BATAS: Seorang pekerja kilang kerugian RM10,950 dipercayai ditipu sindiket pelaburan Forex yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan berlipat kali ganda hanya dalam tempoh 24 jam melabur.
Dalam kejadian semalam, mangsa lelaki itu mahu membuat pelaburan bagi jenis Pelan 1 sebanyak RM350 tetapi diminta membuat beberapa bayaran tambahan terlebih dahulu sekiranya mahu wang keuntungan dibayar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dikatakan menerima pelawaan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp untuk menyertai pelaburan mata wang asing patuh syariah serta menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh singkat.
Katanya, lelaki itu berkomunikasi dengan seorang wanita Melayu yang mendakwa ejen syarikat tersebut dan memujuknya melabur pada jumlah amaun kecil dahulu dan berpeluang mengaut keuntungan segera berjumlah RM25,000.
“Mangsa kemudian dipaksa membuat beberapa bayaran sekiranya mahu menuntut wang keuntungan tersebut dan membuat empat transaksi kemasukan wang ke dua akaun bank diberikan ejen tersebut kesemuanya berjumlah RM 11,950 bagi menikmati pulangan keuntungan yang luar biasa.
“Mangsa akhirnya berasa ditipu setelah ejen tersebut mendiamkan diri sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun-akaun individu terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE