SEPANG: Seorang pekerja kebersihan ditemukan maut di tepi jalan di Kampung Baru Dengkil, di sini hari ini dipercayai akibat diserang anjing liar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi ini, wanita berusia 65 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata sebelum kejadian, wanita terbabit dipercayai berjalan kaki sebelum tiba-tiba terjatuh.
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa pengsan akibat serangan jantung.
“Mengikut keterangan saksi, semasa kejadian dia telah mendengar anjing menyalak dengan kuat sebelum melihat mangsa berjalan perlahan-lahan menghala ke Taman Baiduri Dengkil sebelum jatuh pengsan.
“Tidak lama kemudian, mangsa dikatakan terbaring di tepi jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan pegawai kesihatan, mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di situ.
“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati, tiada sebarang unsur-unsur jenayah.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan hasil laporan bedah siasat dapati punca kematian adalah akibat serangan jantung,” katanya. – UTUSAN ONLINE