PCA & RGL penentu buka sempadan - Utusan Malaysia

PCA & RGL penentu buka sempadan

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor yakin Kerajaan Pusat akan membuka sempadan Malaysia dan Singapura sepenuhnya jika inisiatif Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) berjaya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menyelaras keterlibatan agensi di barisan hadapan bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) inisiatif itu dipatuhi.

“Secara umumnya, kerajaan negeri sentiasa komited memikirkan pelbagai langkah terbaik bagi menyelesaikan perkara-perkara yang melibatkan isu sempadan di Malaysia dan Singapura.

“Kita perlu sedar isu sempadan ini melibatkan kerjasama peringkat global yang harus direncanakan dengan teliti dan komprehensif bagi mendapatkan keputusan inklusif untuk semua terutama dalam suasana pasca pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang) yang bertanyakan berhubung tarikh pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Hasni berkata, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM500,000 bagi memastikan perjalanan PCA dan RGL berjalan lancar.

Ujarnya lagi, sebanyak 327 individu menggunakan kemudahan RGL manakala sejumlah 8,270 orang pula menggunakan sistem PCA sehingga 31 Ogos lalu.

“Penutupan sempadan Johor dan Singapura memberi kesan langsung terhadap ekonomi dengan dianggarkan lebih 50 peratus daripada perbelajaan pelancong asing merupakan penyumbang utama sektor perniagaan di negeri ini.

“Isu sempadan merupakan perkara yang melibatkan hubungan dua hala antara negara, namun kerajaan negeri mengambil beberapa langkah bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dapat berulang alik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengorak langkah ke arah itu menerusi cadangan kertas kerja awal dan penyediaan SOP kepada Kementerian Luar.

“Cadangan awal ini telah ditambah baik melibatkan pelbagai pemegang taruh dari semasa ke semasa sehingga mendapat persetujuan kedua-dua buah negara dan terlaksananya RGL dan PCA yang kita lihat hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya