MELAKA: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila sebuah kereta Proton Iswara dipandu secara melawan arus tiba-tiba ‘menerpa’ ke arah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya sebelum kereta terbabit terbalik, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Baru-Duyung itu, pemandu kenderaan dari arah Duyung dipercayai berbuat demikian bagi mengelak kesesakan jalan raya.
Bagaimanapun, pemandu berusia lingkungan 50-an itu merempuh tiga buah kenderaan lain termasuk Naza Citra dinaiki seorang bapa dan anak perempuannya yang dalam perjalanan menghala ke Bukit Katil.
Menurut bapa tersebut, Ramli Samsuddin, 50, ketika kejadian dia bersama anak perempuannya yang duduk di bahagian penumpang hadapan dalam perjalanan dari arah Bukit Pulau.
“Ketika itu, terdapat dua buah kereta lain iaitu Perodua Viva dan Proton Waja di hadapan saya mengambil susur kiri lampu isyarat menuju ke Bukit Katil.
“Tiba-tiba, datang sebuah Proton Iswara bergerak laju dari arah Duyung merempuh kereta Viva dan Waja berkenaan. Selepas itu, kereta Iswara terbabit ‘menerpa’ ke arah hadapan kiri kereta saya sebelum terbalik tidak jauh dari kenderaan kami,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurut Ramli, walaupun kenderaannya rosak akibat nahas itu, dia bersyukur mereka dua beranak terselamat daripada sebarang kecederaan.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Abdillah Hamid ketika ditemui berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil bersama enam anggota ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat pada pukul 7.28 pagi.
Menurutnya, didapati kemalangan membabitkan empat buah kenderaan iaitu Proton Iswara, Proton Waja, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dan Perodua Viva.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara yang datang dari arah Duyung dipandu secara melawan arus untuk mengelak kesesakan lampu isyarat menuju ke Bukit Pulau.
“Pada masa sama, tiga lagi kenderaan terbabit datang dari arah Bukit Pulau menuju ke Bukit Katil menyebabkan berlaku rempuhan sebelum Proton Iswara itu terbalik,” katanya.
Tambahnya, pemandu Proton Iswara yang cedera dikeluarkan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Melaka dan operasi membersihkan sisa kemalangan tamat pada pukul 8.10 pagi. – UTUSAN ONLINE