POH: Sekumpulan individu membantah tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang dilapor membenarkan kawasan Padang Ipoh berusia 130 tahun di tengah bandar ini dimajukan dengan projek komersial.
Mereka yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Penduduk Bandar Ipoh menyifatkan Padang Ipoh adalah warisan bandar raya itu yang perlu dipertahankan.
Wakil kumpulan itu, Roslan Ali berkata, apa yang meragukan adalah tiada sebarang papan tanda kerja dipasang walaupun beberapa jentera diletakkan di situ sejak pertengahan bulan lalu.
Katanya, pembinaan yang hendak dijalankan itu seolah-olah mengabaikan pandangan warga Ipoh yang tidak mahu kawasan hijau tersebut dicemari dengan pembinaan tidak sesuai.
“Bandar Ipoh diiktiraf portal pengembaraan dunia, Lonely Planet sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati. Sebarang projek yang hendak dimajukan, ia akan merosakkan padang tersebut.
“Padang Ipoh juga adalah padang permainan kriket antara yang terbaik di Malaysia sejak zaman kolonial, malah letaknya di dalam zon jejak warisan Ipoh,” ujarnya di sini semalam.
Terdahulu, beliau bersama beberapa individu menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Perak yang diterima oleh pegawai bertugas di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Roslan berkata, pihak kontraktor turut dikesan merosakkan Padang lpoh apabila meletak kenderaan di atas padang itu sedangkan perkara tersebut tidak wajar dilakukan.
“Semasa MBI membina laluan pejalan kaki di tepi padang ini 15 tahun lalu, ramai penduduk membantah kerana pokok-pokok berusia puluhan tahun ditebang.
“Tetapi MBI tetap berdegil meneruskan projek tersebut yang hasilnya memusnahkan identiti asal Padang Ipoh,” dakwanya.
Padang Ipoh yang terletak bersebelahan Kelab Diraja Ipoh atau Ipoh Royal Club (IRC) dipercayai wujud seawal tahun 1895 seusia dengan pembukaan kelab tersebut.
Selain digunakan sebagai tempat permainan kriket oleh pegawai-pegawai British, Padang Ipoh juga menjadi lokasi upacara-upcara rasmi kerajaan Inggeris di Perak termasuk perbarisan ketenteraan. – UTUSAN ONLINE