KUANTAN: Kerajaan negeri tidak bercadang memanjangkan tempoh operasi premis perniagaan sehingga pukul 2 pagi seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, setakat ini tempoh itu kekal sehingga pukul 12 tengah malam dan kerajaan negeri belum bercadang melanjutkan masa operasi kerana penularan pandemik Covid-19 belum berakhir.
“Saya sudah minta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan pemantauan bagi memastikan setiap premis perniagaan di Pahang beroperasi seperti ditetapkan.
“Begitu juga dengan arahan kepada pemilik premis terutama perniagaan makanan untuk mengekalkan jarak selamat antara pelanggan mereka bagi memastikan keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pembersihan Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp, Ir. Zulkifli Tambi Chik.
Abd. Rahim berkata, keputusan itu tidak bermakna Kerajaan Negeri Pahang tidak bersetuju dengan pengumuman dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 September lalu yang membenarkan premis perniagaan dan kedai serbaneka beroperasi sehingga pukul 2 pagi.
Katanya, kerajaan negeri sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan untuk tidak melanjutkan operasi perniagaan selepas pukul 12 tengah malam dan ia adalah bagi memastikan usaha memutuskan rangkaian Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih berkesan. – UTUSAN ONLINE