Nenek, cucu maut akibat kebakaran - Utusan Malaysia

Nenek, cucu maut akibat kebakaran

JENAZAH Siti Zaleha Jaafar dan Ahmad Shuhil Ahmad Osman dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang nenek berusia 50 tahun dan cucunya maut selepas rumah diduduki mereka di Taman Puteri Indah di sini terbakar awal pagi ini.

Siti Zaleha Jaafar, 50, dan cucunya Ahmad Shuhil Ahmad Osman, 4, yang sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika dikeluarkan pasukan bomba dilaporkan meninggal dunia beberapa jam selepas dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kedua-dua mangsa dan empat yang lain dikeluarkan melalui tingkap rumah berkenaan dalam kejadian pukul 1.02 pagi itu.

Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal dan terdapat enam mangsa yang terlibat termasuk dua mangsa terkorban.

“Siti Zaleha dan Ahmad Shuhil didapati tidak sedarkan diri ketika ditemui.

“Mangsa lain iaitu Siti Khairiah Mohd Don, 28, Ahmad Syaihan Ahmad Osman, 3, dan seorang bayi berusia empat bulan iaitu Ahmad Syahid Ahmad Osman serta wanita dikenali sebagai Wati, 30, dipercayai pembantu rumah mengalami cedera ringan.

“Kesan kebakaran memusnahkan 70 peratus jumlah keseluruhan rumah berkenaan dan semua mangsa diselamatkan oleh pasukan bomba melalui tingkap di tingkat dua menggunakan tangga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dengan menggunakan jentera EMRS dan ambulans.

“Wanita dan cucunya yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam mendapat rawatan di hospital.

“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 3.18 pagi,” katanya.

Katanya, seramai 25 anggota, sebuah jentera FRT dan masing-masing dua jentera LFRT serta EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dan BBP Batu Pahat dihantar ke tempat kejadian.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, di sini petang tadi apabila dua jenazah berkenaan dikebumikan dalam satu liang lahat.

Ahli keluarga mangsa yang didekati wartawan enggan ditemuramah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya