KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung pencerobohan tanah di sekitar Raub, Pahang untuk ditanam durian Musang King.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan akan melihat sama ada terdapat kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu tersebut.
Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini dakwaan mengenai 50 pekebun durian dipanggil SPRM untuk memberi keterangan adalah tidak benar.
“Pekebun durian dipanggil itu tidak betul, tidak tahulah siapa yang buat cerita.
“Setakat ini, saya sahkan kertas siasatan berhubung pencerobohan tanah telah dibuka oleh pihak SPRM Pahang,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Liabiliti Korporat: Adakah Anda Berisiko? di sini semalam.
Semalam, Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) mendedahkan kira-kira 50 pekebun durian dihubungi oleh SPRM untuk diambil keterangan mulai hari ini.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas menangani kegiatan pengusaha kebun durian di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan secara haram.
Tindakan diambil selepas kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun lalu akibat kehilangan hasil cukai tanah.
Pada 28 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun itu sehingga 28 Oktober depan.
Sehingga permohonan itu didengar oleh Mahkamah Tinggi, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan. – UTUSAN