JERANTUT: Bukan sahaja melarikan diri malah seorang mat rempit melakukan aksi ‘Superman’ dan ‘zig-zag’ ketika dikejar polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Jerantut-Temerloh, di sini kelmarin.
Tindakan remaja berusia 17 tahun itu bagaimanapun sia-sia selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya rosak di Kilometer 8 Jalan Jerantut-Temerloh sebelum ditahan polis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam operasi kira-kira pukul 2 petang itu, sepasukan anggota polis terserempak dengan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya di Kilometer 19 Jalan Jerantut-Temerloh.
Katanya, mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dengan menunggang laju menghala ke bandar Jerantut.
“Polis mengenal pasti salah seorang daripada mereka menunggang secara melulu sambil melakukan aksi ‘Superman’ dan ‘zig-zag’ bagi mengelak tangkapan.
“Polis mengekorinya sebelum motosikal jenis Honda EX5 ditunggang remaja itu rosak dan dia ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan
Jalan (APJ) 1987,” katanya di sini semalam.
Dalam kes berasingan, Mazlan memberitahu, polis menahan lima pelajar tingkatan lima yang terlibat dalam aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya semalam.
Katanya, kelima-lima remaja itu menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini selepas aksi berbahaya mereka dirakam polis. – UTUSAN ONLINE