Minta RM1,000 daripada sepasang kekasih, anggota polis direman lima hari - Utusan Malaysia

Minta RM1,000 daripada sepasang kekasih, anggota polis direman lima hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan reman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta rasuah sebanyak RM1,000 daripada sepasang kekasih di Sarawak.

Perintah reman itu bermula hari ini dikeluarkan Majistret Dora Andau di Mahkamah Majistret Kuching pagi tadi.

Yang turut direman tiga sukarelawan polis dan kesemua mereka berusia antara 35 tahun hingga 51 tahun.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Kuching kira-kira pukul 9.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, Khamis lalu, sepasang kekasih sedang berdua-duaan dalam kereta berhampiran kawasan pusat beli-belah kira-kira pukul 9.30 malam sebelum didatangi sebuah kereta peronda polis.

“Ketika kejadian, terdapat lima anggota polis dan seorang daripada mereka mengetuk cermin pintu pemandu kereta dan mengarah pasangan itu keluar daripada kenderaan.

“Anggota tersebut memaklumkan mereka telah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka berdua. Anggota tersebut meminta RM1,000 supaya tidak mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd. Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN