KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang baru tiba dari Sabah Sabtu lalu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Selain Azlan, pengiring keselamatan serta 12 individu lain dari Kangar yang pulang dari Sabah turut menjalani ujian sama.
Azlan berkata, sementara menunggu keputusan ujian tersebut dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua hari, beliau dan rakan-rakan lain secara sukarela menjalani kuarantin sejak tiba dari Sabah, Sabtu lalu.
“Tindakan sukarela ini dilakukan untuk mengelak risiko penyebaran semula wabak Covid-19 di Perlis.
“Perintah kuarantin mulai hari ini adalah atas nasihat dari doktor di HTF. Insya-Allah, semua akan selamat dengan izin dari Allah SWT jua,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.
Kelmarin, media melaporkan, individu baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) serta dipakai gelang kuarantin sehingga 10 Oktober depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 yang dikesan di Semenanjung setelah kembali dari Sabah. – UTUSAN ONLINE