Menara, geografi faktor masalah internet - Utusan Malaysia

Menara, geografi faktor masalah internet

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengenal pasti kekurangan menara telekomunikasi selain kedudukan geografi sebagai faktor menyebabkan ketidakbolehcapaian internet di beberapa kawasan di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan internet sedia ada supaya masyarakat khususnya belia dapat mengaksesnya.

“Tentulah peluasan capaian internet penting kerana iamemberikan keselesaan kepada pengguna. Kita tahu wujud masalah seperti kedudukan geografi, kawasan bukit-bukau, lurah hingga anak muda tidak boleh akses kepada internet.

“Anak muda termasuk di Sabah, sangat memerlukannya. Kita sedar masalah itu dan akan cuba atasinya,” katanya di sini semalam.

Mingguan Malaysia melaporkan masalah capaian internet dan telekomunikasi bukan hanya berlaku di Sabah dan Sarawak sebaliknya ia berlaku juga di banyak kawasan di Semenanjung.

Walaupun Malaysia bakal menuju ke negara berpendapatan tinggi dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia, tetapi kadar capaian internet dan liputan telekomunikasi masih lemah dan terkebelakang berbanding negara-negara jiran.

Oleh itu, pelbagai pakej telekomunikasi ditawarkan kerajaan kepada rakyat tidak bermakna sekiranya ia tidak selari dengan kemudahan disediakan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan Perikatan Nasional (PN) meningkatkan capaian internet di seluruh negara termasuk Sabah dan kerana itu Gerbang Sabah, yang merupakan komponen penting Jalinan Digital Negara (Jendela) dilancarkan di negeri itu kelmarin.

Gerbang Sabah adalah titik sambungan internet antara Sabah serta seluruh dunia yang bakal merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan negeri Di Bawah Bayu itu, selain mempersiapkan rakyat menghadapi masa depan berlandaskan inovasi dan teknologi.

Kata beliau, menerusi Fasa 1 Jendela yang diumumkan Perdana Menteri bulan lalu, ia akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.

“Selain itu, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit. Ini akan melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

“Fasa 2 iaitu peralihan kepada 5G akan disusuli selepas platform yang kukuh di dalam Fasa 1 ini dapat dicapai, selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN